Keinginan ibubapa dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang secukupnya memang amat perlu. Tapi ada ibubapa yang terlalu obses dalam mengisi masa anak-anak dengan aktiviti yang sentiasa menuntut kepatuhan jadual. Pagi ke sekolah, petang ke kelas sukan, senja ke kelas mengaji, malam ke kelas tuisyen. Dan bila balik, langsung bersiap untuk tidur dan menanti aktiviti sama keesokan harinya. Sedar tak sedar, mungkin akan adanya jurang komunikasi antara anak-anak dan ibubapa kerana kesibukan masing-masing.
Sememangnya sebagai ibubapa, kita mahukan yang terbaik buat anak-anak. Namun, pernahkah kita bertanya, adakah anak-anak setuju dan bersemangat untuk mematuhi jadual yang kita tetapkan? Ini kerana adakalanya jiwa anak-anak inginkan kelainan. Namun kerana ketaksuban kita untuk melihat anak-anak menjadi orang yang serba boleh, maka dengan sedaya upaya kita sumbatkan anak-anak dengan pelbagai elemen pelajaran yang sebenarnya agak membebankan buat anak-anak. Ingat, anak-anak bukan robot. Adakalanya mereka juga perlukan ruang untuk berseronok.
Beri peluang untuk anak anda menyuarakan keinginan mereka selagi tidak bercanggah dengan nilai-nilai murni. Dengari suara hati mereka sekarang. Andai kita tidak melakukannya sekarang, jangan hairan jika pada masa akan datang, sebarang rintihan anda tidak pula didengari oleh anak-anak yang telah meningkat dewasa.
0 berkongsi idea
Pendapat anda amat dihargai.