ANTARA KEGAGALAN DAN REZEKI

By Permata Malap - 8:00 pm

Al-hamdulillah, semalam keputusan SPM 2014 telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Beruntunglah siapa yang lulus dan/atau mendapat keputusan yang cemerlang. Mesti rasa best dan terharu kan. Dalam Facebook pun, ramai gak ibubapa yang memanjatkan kesyukuran bersempena dengan keputusan peperiksaan anak masing-masing. Tahniah pada yang berjaya ye.

Bagaimana pula dengan yang kurang berjaya? Maaf, tak nak gunakan istilah gagal. Adakah adik-adik sedang bersedih? Ataupun adakah sebagai ibubapa, kita berasa malu dengan pencapaian anak-anak? Seolahnya tiada lagi masa depan yang cerah untuk anak-anak? 

IbuNoey ingin berkongsi pengalaman hidup IbuNoey. Maaf sekali lagi, bukan niat hendak membuka pekung di dada. Semasa sekolah rendah dahulu, IbuNoey boleh dikategorikan sebagai pelajar yang sentiasa mendahului pelajar lain. Setiap kali peperiksaan, mesti dapat markah tertinggi. Dan al-hamdulillah, tempat pertama sentiasa menjadi milik IbuNoey. Malahan kelas pula adalah kelas pertama.

Sehinggalah pada penggal kedua Darjah Enam, pencapaian IbuNoey jatuh teruk. Kalau tak silap IbuNoey, IbuNoey mendapat tempat yang ke-5. Pada masa tu, memang ramai cikgu yang agak terkejut dengan kejatuhan IbuNoey. Punca kejatuhan tu hanya satu; semasa menjawab peperiksaan matapelajaran Matematik, IbuNoey tidak perasan bahawa kertas soalan yang diberikan adalah tidak mencukupi sehingga menyebabkan IbuNoey hanya menjawab separuh daripada soalan yang sepatutnya dijawab.

Selepas mendapat keputusan peperiksaan tu, arwah mak IbuNoey sepertinya hilang keyakinan dengan pencapaian UPSR IbuNoey nanti. Namun, al-hamdulillah, keputusan UPSR IbuNoey sangat sukar dipercayai. Tiada sebarang B, C, D, ataupun E dalam kelima-lima subjek UPSR. Dalam erti kata yang lain, straight A la. Oleh kerana dapat keputusan yang cantik, IbuNoey ditawarkan melanjutkan pelajaran ke asrama penuh oleh pihak Yayasan Sabah dan menerima bantuan biasiswa. Bersemangat dan tanpa berfikir panjang, IbuNoey menerima tawaran itu meskipun dinasihati oleh arwah mak supaya berfikir sedalamnya.

Namun, mungkin kerana selama ini tiada istilah berdikari semasa di rumah, IbuNoey buat hal semasa berada di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah. Buat hal di sini bukanlah bermaksud IbuNoey terlibat dengan kegiatan yang tak baik. Cuma, IbuNoey buat hal sebab nak balik semula ke Sabah. Dan akhirnya, pihak Yayasan Sabah menghantar IbuNoey semula ke Sabah. Kembalilah IbuNoey bersekolah di kampung IbuNoey.

Dan sekali lagi, kegemilangan IbuNoey di dalam sekolah berterusan. Berada di dalam kelas pertama dan mendapat tempat pertama setiap kali peperiksaan memang cukup membanggakan. Namun, semasa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, IbuNoey gagal mendapat straight A seperti semasa UPSR dahulu. Cuma, jumlah A sahaja yang sama seperti UPSR. Selebihnya ada B dan C. 

Sesudah itu, IbuNoey berpindah sekolah ke sekolah di bandar. Masa inilah cabaran agak kuat. Dengan faktor usia remajanya, dengan faktor bercinta masa sekolahnya, dengan faktor rakan sebayanya, dan macam-macam lagi. Namun, IbuNoey masih boleh lagi mengekalkan kegemilangan dalam beberapa subjek seperti Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan. Mungkin kerana gagal menumpukan perhatian di saat-saat akhir, keputusan SPM IbuNoey tidaklah boleh dibanggakan sangat kerana hanya mendapat satu A sahaja.

Dengan berbekalkan keputusan itu, IbuNoey ambil keputusan untuk masuk Tingkatan Enam. Namun, setelah beberapa lama, IbuNoey sedar yang IbuNoey tersilap pilih aliran. Mujur dan mujur IbuNoey mendapat panggilan untuk masuk ke IPTA. Masuklah ke UiTM Kota Kinabalu dengan mengambil Diploma Pengurusan Perniagaan.

Permulaan Tahun Pertama di sana, pencapaian IbuNoey menjadi kebanggaan lagi. Malah mendapat Anugerah Dekan. Namun, masuk Tahun Kedua, IbuNoey mula hilang punca kerana faktor yang kecil sahaja. Keputusan memang jatuh teruk; pointer 1.8 sahaja. Sehinggalah tiba Tahun Ketiga, banyak paper yang IbuNoey perlu repeat kerana gagal. Ada yang gagal dua kali. Kemuncaknya, IbuNoey ambil keputusan untuk berhenti tanpa meneruskan lagi pengajian.

Selepas berhenti, IbuNoey tiada apa-apa benda yang dilakukan. Makan, tidur, makan, tidur. Seperti tiada hala tuju. Sehinggalah satu masa, terbuka pintu hati untuk memohon pekerjaan melalui SPA8. Itupun dalam tiga kali temuduga, barulah dapat tawaran daripada SPA8. Sebelum menerima tawaran daripada SPA, abang kandung IbuNoey offer untuk isi jawatan kosong bagi guru sambilan. Katanya, kalau prestasi bagus, ada harapan untuk dilantik sebagai guru tetap. Tapi IbuNoey tolak sebab pada fikiran IbuNoey, IbuNoey tak layak menjadi guru. Dan akhirnya kini, IbuNoey berada di pejabat IbuNoey sekarang sebagai kakitangan kerajaan.

Fuh.. Panjang benar ceritanya. Dah macam novel pula. Tapi sebenarnya, IbuNoey berkongsi kisah hidup IbuNoey ni sebagai satu cara untuk kita berfikir betapa kegagalan bukanlah pengukur masa depan seseorang. Jika kita jatuh sekali, bukanlah bermaksud kita akan terus jatuh. Kita boleh bangkit lagi cuma ianya bergantung kepada rezeki masing-masing. IbuNoey sendiri dah alami naik dan turunnya kecemerlangan IbuNoey. Dah tersungkur tapi masih mampu bangun.

Jadi kepada adik-adik yang baru sahaja mengambil keputusan SPM tu, jangan sedih dan kecewa jika keputusan tidak seperti yang diimpikan. Sebab banyak lagi cabaran yang akan dihadapi selepas ini. Dan mana tahu salah satu cabaran yang akan datang itu akan menjadi peluang untuk berjaya di masa akan datang? Percaya atau tidak, ada kawan-kawan IbuNoey yang dahulunya tidak berupaya mendapat keputusan yang cemerlang tapi kini pendapatannya melebihi IbuNoey. Itu semua kerana adanya rasa tidak putus asa. Dan banyak lagi kisah orang lain yang sebenarnya boleh dijadikan panduan. Bak kata sepupu IbuNoey, "Ada kawanku yang gagal dalam SPM dulu tapi kini bukan sebuah kedai, malah dah ada dua buah kedai besar."



  • Share:

You Might Also Like

0 berkongsi idea

Pendapat anda amat dihargai.