Semalam, tergerak hati nak selongkar stor. Kononnya nak cari sijil SPM dulu sebab dah lupa gred sebenar setiap subjek yang diambil. Selongkar punya selongkar, jumpa jugalah. Sijil SPM IbuNoey diletak dalam satu fail khas. Sebenarnya fail tu arwah mak IbuNoey yang sediakan. Arwah mak sediakan satu fail untuk setiap orang anak-anaknya. So, dalam fail tu, ada semua sijil masa persekolahan dulu. Kat tepi ada label nama setiap kami adik-beradik. Nanti ada masa, IbuNoey tunjukkan gambar failnya ye.
Belek punya belek, lihat punya lihat, baca punya baca, tiba-tiba timbul rasa sayu. Rasa nak menangis pun ada. Kenapa? Sebab rasa ralat sangat bila tengok betapa cemerlangnya IbuNoey masa persekolahan dulu. Bukan nak meninggi diri, tapi itulah hakikatnya. Seperti yang IbuNoey katakan di entri sebelum ini, IbuNoey memang sentiasa menjadi pelajar cemerlang di sekolah. Tak kira sekolah rendah ataupun menengah. Malahan masih kekalkan prestasi cemerlang pada Tahun Pertama semasa menuntut di UiTM. Tapi sekarang, kesemua kecemerlangan tu tak membawa IbuNoey ke peringkat yang lebih tinggi.
Bukan IbuNoey tak bersyukur dengan apa yang ada pada IbuNoey sekarang. Cuma bila fikir balik, IbuNoey tak mampu mengekalkan kecemerlangan itu kerana kesilapan diri sendiri, IbuNoey rasa menyesal sangat. Peluang ada di depan mata tapi disia-siakan. IbuNoey gagal bukan kerana usaha yang tak membuahkan hasil. Tapi gagal kerana kurang kesedaran pada masa tu. Dan sekarang ni, nak mulakan kecemerlangan tu semula, terasa sukar. Peluang mungkin ada tapi nak mencapainya mungkin tidak semudah seperti dahulu.
Terus terang IbuNoey katakan, bila berada di dalam group Whatsapp ex-classmates, IbuNoey lebih banyak mendiamkan diri. Bukan menyombong tapi terasa rendah diri. Sebab ada di kalangan ex-classmates tu jauh lebih berjaya daripada IbuNoey. Ada yang dah jadi polis berpangkat tinggi, ada yang jadi cikgu, ada yang jadi bos kepada perniagaan sendiri, ada yang jadi doktor, dan macam-macam lagi la. Ye, IbuNoey tahu rezeki masing-masing tak tentu. Tapi yelah, bila kita ni satu masa dulu pernah berada di atas tapi kini berada di bawah, rasa segan pun ada. Jadi selalunya, IbuNoey hanya menjadi silent reader dalam group.
Berbalik kepada fail sijil IbuNoey tu. Setelah lama termenung mengenangkan kisah lama, IbuNoey pandang muka anak-anak. Terasa ada sedikit semangat baru. Dalam fikiran, masa dulu biarkan berlalu. Sekarang ni, cuba fokus pada masa depan anak-anak. Didik anak sebaik-baiknya. Jangan biarkan anak-anak melakukan kesilapan yang sama. Jikalau boleh, sokonglah apa juga yang anak-anak lakukan selagi ianya mampu memberikan masa depan yang cerah. Jika anak terjatuh, pimpinlah agar dia bangun semula. In shaa Allah. Doakan IbuNoey.
P/S : Agak ragu-ragu nak up entri ni sebab macam-macam persoalan bermain dalam fikiran. Tapi bila dah jadi blogger, kenalah berani. So, up sahaja untuk bacaan bersama.
0 berkongsi idea
Pendapat anda amat dihargai.